Wednesday, June 25, 2008

Musly masih seperti dulu...


Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Musly Ramlee

Didik diri imbas laluan silam untuk jadi anak seni bermaruah .


LALUAN silam yang penuh berliku membuatkan Musly Amir Mohammed Ramli atau kini lebih selesa dikenali sebagai Musly Ramlee tidak mahu bermegah dengan nikmat kemasyhuran yang dikecapinya ketika ini.

Saat nama meniti di bibir peminat menerusi keberkesanan lakonannya membawakan watak Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam pementasan musim kedua P Ramlee The Musical, hakikatnya Musly sedang berperang dengan dirinya sendiri.

Berulang dia mengingatkan dirinya supaya tidak takbur dengan apa yang dianugerahkan Allah, sebaliknya sentiasa menyemat dalam fikiran supaya tidak berubah kerana kejayaan yang diberikan ini hanya pinjaman dan perlu ditangani sebaik mungkin.

“Saya takut dengan apa yang berlaku sekarang,” luah Musly saat ditanya mengenai nikmat kemasyhuran yang enak dalam pelukannya ketika ini.

Mohon Musly kepada Ilahi, dia tidak akan sesekali berubah hanya dengan sekelumit pujian kerana apa yang dinikmatinya itu tidak lebih sekadar meneguk setitis kemanisan dalam laluan perjuangan yang masih panjang.

Kemanisan yang tidak akan menghentikan langkahnya untuk meneruskan apa yang dicita-citakan kerana bagi pelakon dan penyanyi berusia 40 tahun itu, perjuangan insan seni sejati tidak akan pernah selesai.

“Saya cuba mendidik diri begitu kerana mahu menjadi anak seni bermaruah. Jujurnya saya sendiri takut melihat kehidupan serta cabaran yang menanti kerana terlalu banyak dugaan yang akan datang menguji.

“Justeru, saya perlu melihat apa yang saya lalui ini sebagai satu perjuangan untuk membudayakan apa yang diperjuangkan oleh mereka yang terlebih dulu berusaha memartabatkan seni dan budaya masyarakat tempatan,” katanya.

Biar kini perjalanan seninya mengalami sedikit anjakan, anak kelahiran Bagan Datoh, Perak itu bersyukur kerana kariernya memuncak perlahan-lahan. Meskipun terpaksa menunggu lama, Musly tidak pernah kecewa kerana dia mengecap semua itu pada usia yang matang.

“Jadi saya tidak lagi terlalu ghairah atau terbawa-bawa dengan pujian yang dilontarkan kerana nikmat itu datang bersama perjuangan kerana tanpanya, hidup ini mungkin sukar,” katanya.

Jujur kata Musly, kehidupan selepas berakhirnya musim kedua pementasan P Ramlee The Musical membuatkan dia berasa sedikit kehilangan.

Berbulan-bulan menghadapi kesibukan dengan sesi latihan, disusuli jadual harian yang padat apabila siri pementasan berterusan bermula membuatkan dia terasa sesuatu kekurangan apabila semua itu berakhir.

“Perasaan itu datang mungkin kerana pementasan itu masih baru lagi berakhir, tetapi saya percaya perlahan-lahan akan hilang apabila saya kembali sibuk dengan pelbagai aktiviti seni lain.

“Hari pertama selepas pementasan berakhir, saya tertidur hingga lewat petang. Apabila tersedar, saya tergamam kerana lambat untuk memulakan sesi mekap sedangkan hakikatnya pementasan sudah berakhir.

“Tuntutan bermain teater agak memenatkan dan apabila ‘hilang’ secara tiba-tiba, suasana itu membuatkan saya agak terasa,” katanya.

Jalan hidup yang barangkali mengalami sedikit anjakan, namun bagi Musly tiada apa yang berubah dalam dirinya. Dia tetap Musly yang dulu, memainkan peranan sebagai anak seni dengan meneruskan kembali apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Akur untuk membebaskan diri daripada bayang P Ramlee memerlukan sedikit masa dan agak kekok, bagaimanapun katanya, semua itu hilang apabila dia memikirkan mengenai realiti.

Bagi Musly, tiada perkataan lain yang bermain di bibirnya ketika ini kecuali memanjatkan rasa syukur tidak terhingga kepada Ilahi atas kurniaan yang tidak ternilai itu.

“Saya tidak pernah meminta tetapi saya sangat bersyukur kerana sejak membintangi muzikal ini, bayaran persembahan untuk saya juga lebih baik. Alhamdulillah, matlamat saya dalam bidang seni semakin menampakkan hasil.

“Saya sepatutnya berterima kasih kepada Enfiniti yang melihat apa yang ada dalam diri ini, malah mereka juga sedia membimbing untuk membawa kerjaya saya ke tahap lebih baik.

“Ada beberapa perancangan yang sedang kami susun bersama, cuma mungkin belum masanya untuk saya berkongsi kerana masih dalam perbincangan,” katanya.

INFO: Musly Ramlee

* Selama 12 tahun berdepan pelbagai ujian, baru kini bakat Musly dihargai. Sebelum ini, dia cuma

berjinak-jinak di Angkasapuri menerusi program hiburan terutama yang bersangkut paut dengan P Ramlee serta di pentas kecil, bagaimanapun rezeki Musly semakin besar sejak membintangi P Ramlee The Musical

* Lakonannya menyuntik emosi, malah cemerlang dalam menghidupkan kembali watak P Ramlee dengan lenggok badan, tutur percakapan dan suara hampir serupa membuatkan ramai rakan Allahyarham Seniman Agung itu memuji ketrampilan Musly di pentas.

* Dulu dia dikenali sebagai Musly Amir. Bagaimanapun, nama Ramlee yang digunakan di belakang nama sebenarnya bukan kerana mahu menumpang kegemilangan Allahyarham Tan Sri P Ramlee,

sebaliknya itu nama sebenar ayahnya tetapi ejaan diubah.

* Kegemaran meniru gaya P Ramlee membuka jalan kepada Musly untuk menyertai industri hiburan tempatan dengan lebih serius selepas menjuarai pertandingan Bintang P Ramlee anjuran Kerajaan Negeri Sarawak pada 1996.



PROFIL: Musly Amir Mohamed Ramli

* Panggilan: Musly Ramlee
* Tarikh Lahir: 29 Julai 1968
* Umur: 40 Tahun
* Asal: Bagan Datoh, Perak.
* Status: Berkahwin
* Kerjaya: Pelakon dan penyanyi
* Teater: Teater Muzikal P Ramlee
* Filem: Tak Ori Tapi Ok
* Drama: Bila Senja Berlabuh
* Pencapaian: Juara Bintang P Ramlee anjuran Kerajaan Negeri Sarawak (1996)

Thursday, June 19, 2008